iklan nuffnang

Pelancongan Terengganu

Saturday 25 December 2010

Sejarah Kesultanan Terengganu

Pengasas Kesultanan Terengganu pada hari ini ialah Sultan Zainal Abidin I. Baginda ialah putera Tun Habib Abdul Majid atau dikenali juga dengan panggilan Bendahara Padang Saujana. Mengikut buku Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk atau Raja Tua di atas pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Sumber yang lain pula dinyatakan Tun Zainal Abidin ditabalkan di atas tahta Kerajaan Negeri Terengganu oleh Phra Chau Yang, Raja Pattani.
Mengikut hikayat Johor serta Pahang, Tun Zainal Abidin datang ke Pattani setelah Paduka Raja Laksamana Wan Abdul Rahman dibunuh di Terengganu disekitar 1688. Ketika berada di Pattani, Tun Zainal Abidin dijadikan anak angkat oleh Raja Pattani, Phra Nang Chau Yang.
Tun Zainal Abidin menjadi Sultan Terengganu pada tahun 1708.  Ini berdasarkan duit kupang emas Terengganu yang mencatatkan nama Sultan Zainal Abidin dan tahun 1120 hijrah ( bersamaan tahun 1708 ). Sultan Zainal Abidin I tidak lama bersemanyam di Tanjung Baru, Kuala Berang, berpindah ke Kota Batang Mahang, ke Langgar dan ke Pulau Manis. Kemudian berpindah lagi ke Chabang Tiga, Kuala Terengganu dan akhirnya di kawasan berhampiran Bukit Keledang ( kini dipanggil Kota Lama ).
Sultan Zainal Abidin I digantikan oleh putera baginda, Ku Tana Mansur dengan gelaran Sultan Mansur I pada tahun 1733, ketika berusia 7 tahun. Baginda memerintah Terengganu sehingga tahun 1794. Pada tahun 1739, Sultan Mansur Shah I berkahwin dengan Raja Bulang anak Daeng Chelak, Yamtuan Muda Johor Kedua. Berikutnya berkahwin pula dengan Raja Bakul, putera Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Ketika menduduki takhta kerajaan Terengganu, Sultan Mansur I telah menghabiskan empat belas tahun (1746 – 1760 ) daripada masa pemerintahannya di Riau, terlibat dalam persaingan di antara orang Melayu dengan orang Bugis. Apabila pulang ke Terengganu pada 1760, baginda terlibat pula dalam politik Kelantan membantu Long Yunus, Putera Long Sulaiman Ibni Long Bahar, Yang DiPertuan Kelantan menduduki takhta kerajaan Kelantan pada tahun 1776.
Sultan Mansur di gantikan oleh putera baginda Sultan Zainal Abidin II (1794 – 1808 ). Pada masa pemerintahan baginda, berlaku peperangan dengan Kelantan yang dipimpin oleh Long Mahammad Ibni Long Yunus, Raja Kelantan. Terengganu dikalahkan dan seterusnya Kelantan berjaya membebaskan diri daripada naungan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad (1808 – 1830 ), Sultan Abdul Rahman ( 1830 ), Sultan Daud ( 1830 – 1831 ), Sultan Mansur II ( 1831 – 1837 ), Sultan Muhammad ( 1837 – 1839 ), Baginda Omar (1839 – 1876 ). Baginda Omar pernah menduduki takhta kerajaan Terengganu  pada tahun 1831 mengantikan Sultan Daud. Tetapi baginda diturunkan dari takhta kerajaan oleh Tengku Mansur dan seterusnya sebagai Sultan Mansur II. Sultan Mansur II digantikan oleh putera baginda, Sultan Muhammad. Pada tahun 1839, Baginda Omar berjaya mengalahkan Sultan Muhammad dan seterusnya menduduki takhta kerajaan Terengganu. ketika pemerintahan baginda, Terengganu berkembang maju.
Apabila Baginda Omar mangkat, takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad Shah II ( 1876 –1881 ). Sultan Ahmad Shah pula digantikan oleh putera baginda, Sultan Zainal Abidin III ( 1881–1918 ). Ketika pemerintahan baginda, British beberapa kali cuba melibatkan diri dalam kerajaan Terengganu. Pada tahun 1911, Sultan Zainal Abidin III meluluskan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu yang di antara lain menyatakan Sultan Yang DiPertuan Besar Terengganu memiliki kuasa kerajaan dan jajahan serta adalah ketua tertinggi kerajaan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan digantikan oleh Sultan Muhammad Shah II ( 1918 – 1920) dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ( 1920 – 1942 ).
Menurut Warta Chahaya Timor No. 38 bertarikh 29 September 1942, apabila Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah mangkat pada 26 September 1942, Tengku Ali, yang dirujuk sebagai putera sulong baginda telah dilantik sebagai " Pemangku Sultan Sementara " oleh pihak pentadbiran Jepun pada 29 September 1942. Seterusnya Tengku Ali telah diberikan gelaran " Sultan " pada 30 September 1942 oleh Syuckokan atau Gabenor Jepun. Walau bagaimanapun perlantikan ini dinyatakan tidak menurut Undang-Undang  Diri Bagi Negeri Terengganu 1911.
Tengku Seri Paduka Raja, Tengku Ismail diisytiharkan sebagai Sultan Terengganu pada pukul 9.00 pagi Ahad, 16 Disember 1945. Baginda seterusnya ditabalkan pada tahun 1949 dengan gelaran Sultan Ismail Nasaruddin Shah. Sultan Ismail Nasaruddin dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke – 6 dari 21 September 1965 hingga 20 September 1970. Dalam tempoh itu Duli Yang Amat Mulia Tengku Mahmud dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu. Apabila Sultan Ismail Nasaruddin Shah mangkat pada tahun 1979, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Duli Yang Teramat Mulia Yang Dipertuan Muda Tengku Mahmud. Baginda menduduki takhta kerajaan Terengganu dengan gelaran Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Sultan Mahmud mangkat pada 15 Mei 1998 di Singapura. Dengan itu, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Yang DiPertuan Muda Tengku Mizan. 

Friday 24 December 2010

Sejarah Awal Kerajaan Terengganu

Sejarah awal Terengganu adalah tidak jelas. Namun begitu terdapat catatan mengenai Terengganu oleh saudagar Cina, Chao Ju Kua pada tahun 1225 yang menyebut sebagai jajahan takluk Palembang. Dalam Negarakartagama, tulisan Prapanca dari Jawa pada tahun 1365, menyatakan Terengganu, Paka dan Dungun di bawah taklukan Majapahit. Berdasarkan bukti arkeologi seperti kapak batu dan tembikar yang dijumpai di Gunung Bewah terdapat manusia tinggal di situ sejak 4,000 tahun sebelum masihi. Pada Batu Bersurat Terengganu terdapat pula catatan nama Raja Mandalika. Seterusnya dalam sejarah Terengganu, terdapat pemerintahan bernama Megat Panji Alam dan juga Tun Telanai.
Terengganu kemudiannya disebut sebagai negeri di bawah pemerintahan kerajaan Johor. Pada ketika itu, dua orang pembesar Johor ; Laksamana dan Paduka Megat Seri Rama dihantar memerintah Terengganu. seterusnya Bendahara Hasan pula dihantar mentadbir Terengganu. Berikutnya Terengganu ditadbir oleh Tun Zain Indera. Kemudiannya oleh anak Tun Zain Indera, Tun Yuan, Tun Sulaiman dan Tun Ismail. Tun Sulaiman sebagai sultan di Pantai Layang ( Balik Bukit ), Tun Yuan sebagai Bendahara dan Tun Ismail sebagai Menteri Tersat.  

Kedatangan Islam Di Terengganu

Setakat ini tidak dapat dipastikan dengan tepat tarikh atau tahun dan dari mana kedatangan Islam ke Terengganu. Namun begitu pada Batu Bersurat Terengganu tercatat tahun Hijrah 702, bersamaan 1303. Tahun ini disetujui setakat ini tercatat di Batu Bersurat dan bukan bermakna Islam bermula di Terengganu pada tahun tersebut. Dengan ini bermakna Agama Islam telah bertapak di Terengganu sebelum tahun 1303. Perkembangan Islam di Terengganu sebelum tahun tersebut membolehkan penulis batu bersurat menulis jawi dan golongan tertentu di Terengganu boleh membaca jawi. Satu perkara yang menarik di sini, Terengganu adalah negeri yang terawal di Malaysia mengkanunkan undang-undang Islam.
Dalam pada itu terbukti pada kurun ke – 16 Sharif Muhammad Al-Baghdadi sudah berada di Kuala Berang. Kehadiran beliau ini sudah pasti ada kaitan dengan Agama Islam dan perdagangan. Beliau meninggal dunia di Batu Belah, Kuala Berang. Keturunan beliau, Abdul Malik bin Abdullah ( lebih dikenali sebagai Tuk Pulau Manis ) meneruskan kegiatan keagamaan di Terengganu. Setelah kira-kira 10 tahun menuntut di Mekah dan Madinah, di sekitar tahun 1690 Abdul Malik pulang ke Terengganu dan mengajar ilmu agama di Kuala Berang.

Kenali asal usul Terengganu

Asal Usul Nama Terengganu

Setakat ini terdapat beberapa cerita yang dikaitkan dengan nama negeri Terengganu. Nama Terengganu itu dikaitkan dengan " Terangnya ganu ", " Taring anu ", dan " Terangan nu ". Kisah asal nama Terengganu ini melibatkan penduduk luar Terengganu ( Kelantan dan Pahang ) dan juga dari penduduk Terengganu sendiri. " Terangnya ganu " ini dikaitkan pula dengan peristiwa beberapa orang pelajar Kelantan tiba di Kuala yang kini dipanggil Kuala Terengganu melihat pelangi di langit. Mereka pun menyatakan " Terang sungguh ganu di sini ". Apabila pulang ke Kelantan mereka menyatakan di negeri jiran sungguh "terang ganunya ".

Sementara itu " Taring anu " dikatakan berasal daripada cerita yang dikisahkan oleh Sultan Terengganu yang kesembilan, Baginda Omar ( 1839 – 1876 ). Sebelum wujud nama negeri Terengganu, satu rombongan Pahang telah datang memburu di kawasan hulu. Apabila mereka tiba di satu tempat ( kini dikenali dengan Sungai Terengganu Mati ), salah seorang daripada rombongan itu berjumpa sebatang taring. Beliau pun bertanya kepada temannya, taring apa? Salah seorang daripadanya menyatakan – "Taring anu " kerana ia tidak dapat mengingatkan nama taring tersebut. Tidak lama kemudian, di antara mereka di dalam rombongan ini dapat memburu seekor rusa. Apabila dibawa pulang ke tempat mereka berkhemah, salah seorang daripada mereka bertanya tempat rusa itu diburu. Mereka yang berkenaan menyatakan berburu di "Taring anu ". Begitu juga apabila membawa pulang kayu gaharu dan ditanya tempatnya, mereka menyatakan di " Taring anu". Lama kelamaan dikenali dengan Terengganu.

Terdapat dua kisah asal nama Terengganu yang melibatkan penduduk tempatan. pertamanya kisah " Taring anu " yang berlaku di tempat lain ( bukan di hulu ). Kisah ini menyatakan yang " Taring anu " berasal daripada sebatang taring sebesar gading gajah dijumpai di sebuah pulau ( kini dikenali sebagai Pulau Duyung ) berhampiran Kuala Sungai. Ketua pulau tersebut menyembahkan kepada raja " taring anu tuanku ". Dengan itu kuala sungai itu disebut sebagai Kuala Sungai Taring anu. Kemudiannya Kuala Sungai Terengganu.
Sebuah kitab lagi berkait dengan salah sebuah sungai yang bernama Sungai Terengan. Kuala Sungai Terengan ini adalah pertemuan Sungai Kerbat dan Sungai Terengan. Dipercayai pada zaman silam sudah ada penduduk di sini. Mereka berulangalik menggunakan kedua-dua sungai ini. Oleh itu jika mereka bertolak dari Kuala Terengan, mereka akan menggunakan samada Sungai Terengan atau Sungai Kerbat. Jika ada di antara mereka bertanya hendak ke mana? Mereka akan menjawab sama ada ke " Terangan ni " atau " Terengan nu". Dengan itu lama kelamaan muncullah Terengganu.

Tuesday 7 December 2010

Kejohanan Monsoon Cup, Ben Ainslie Juara

Piala Monsun: Ainslie Rangkul Gelaran Berganda Buat Kali Pertama

Ben Ainslie (dua, kanan) dari TEAMORIGIN merangkul gelaran berganda, Piala Monsun dan World Racing Match Tour. Foto: BERNAMA
KUALA TERENGGANU, 5 Dis (Bernama) -- Juragan pasukan TEAMORIGIN, Ben Ainslie, merangkul gelaran juara berganda apabila menjuarai Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2010 dan juga kejuaraan dunia di Pulau Duyong, di sini.

Pelayar Britain berusia 33 tahun itu juga dinobatkan sebagai juara Jelajah Dunia Match Racing (WMRT) ISAF buat kali pertama dengan mengumpul 118 mata selepas mengharungi sembilan sirkit jelajah dunia musim ini.



Piala Monsun merupakan sirkit terakhir dalam Jelajah WMRT ISAF.

Ainslie muncul juara Piala Monsun edisi keenam buat julung kali selepas menewaskan juragan pasukan Mirsky Racing Team, Torvar Mirsky, 3-2 dalam perlawanan akhir.

Selaku juara Piala Monsun, Ainslie membawa pulang wang tunai RM310,000 serta trofi dan turut memperoleh wang tunai US$50,000 (RM157,050) dan Piala WMRT ISAF sebagai juara dunia.

Mirsky, dari Australia, pula mendapat hadiah wang tunai RM215,000 manakala juragan Denmark, Jesper Radich dari pasukan Gaastra Racing Team, yang menduduki tempat ketiga, membawa pulang RM155,000.

Tempat keempat pula disandang oleh Bjorn Hansen dari pasukan Hansen Global team dan membawa pulang RM140,000.

Ian Williams (Team GAC Pindar) menduduki tempat kelima dengan membawa pulang RM125,000 manakala pelayar Itali, Francesco Bruni (Team Azzurra) di tempat keenam.

Datuk Peter Gilmour (YANMAR Racing) hanya mampu menduduki tempat ketujuh sementara peserta tunggal tempatan, Jeremy Koo dan krew Koo Racing Team-Evernew membawa pulang hadiah RM50,000 selepas tercorot di tempat ke-12.

Kejohanan tahunan itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM1.5 juta dan hadiah disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Trengganu, Datuk Mazlan Ngah.

Sementara itu, juragan Perancis, Mathieu Richard (French Match Racing) menduduki tempat kedua WMRT ISAF dengan 111 mata serta menerima hadiah wang tunai US$40,000 (RM125,640) dan Mirsky pula di tempat ketiga selepas mengumpul 106 mata.

Mirsky memperoleh US$35,000 (RM109,935).

KEPUTUSAN AKHIR PIALA MONSUN 2010:

1. Ben Ainslie (TEAMORIGIN)

2. Torvar Mirsky (Mirsky Racing Team)

3. Jesper Radich (Gaastra Racing Team)

4. Bjorn Hansen (Hansen Global Team)

5. Ian Williams (Team GAC Pindar)

6. Francesco Bruni (Team Azzurra)

7. Peter Gilmour (YANMAR Racing)

8. Mathieu Richard (French Match Racing)

9. Adam Minoprio (ETNZ/Black Match Racing)

10. Phil Robertson (Waka Racing Team)

11. Keith Swinston (Black Swan Racing

12. Jeremy Koo (Koo Racing Team-Evernew).

KEDUDUKAN AKHIR WMRT ISAF 2010:

1. Ben Ainslie (GBR) - 118 mata

2. Mathieu Richard (FRA) - 111

3. Torvar Mirsky (AUS) - 106

4. Adam Minoprio (NZL) - 90

5. Ian Williams (GBR) - 87

6. Jesper Radich (DEN) - 82

7. Francesco Bruni (ITA) - 65

8. Peter Gilmour (AUS) - 60

9. Bjorn Hansen (SWE) - 45

10. Magnus Holmberg (SWE) - 29

-- BERNAMA

Sunday 21 November 2010

Pelancong dan Pengunjung kena 'Sembelih' di KualaTerengganu

Pagi tadi dalam perjalanan menuju ke tempat kerja, sedang asyik mendengar celoteh DJ di THR Gegar blogger terdengar aduan seorang pengunjung atau pelancong yang baru pulang dari mengunjungi Kuala Terengganu kerana telah kena 'sembelih' di Kuala Terengganu. Ingatkan sempena Hari Raya Korban ini, hanya lembu dan kambing yang patut disembelih tetapi pelancong dan pengunjung ke Kuala Terengganu turut terkorban sama walaupun tidaklah sampai menemui ajal.

Kata pengadu itu, beliau sekeluarga telah makan di sebuah kedai makan di Kuala Terengganu dengan masakan panas yang berlaukkan tomyam untuk 4 orang makan, sayur serta nasi dan harga yang kenakan adalah RM250.00. Mahal tu... memang betul-betul sembelih.

Monday 8 November 2010

Senja di Kuala Terengganu dan Panorama Malam Taman Shahbandar

Keindahan senja di Waterfront Kuala Terengganu

Kali ini blogger bukanlah ingin bercerita panjang, tetapi sekadar berkongsi gambar-gambar menarik yang telah blogger ambil semasa bersiar-siar di Kuala Terengganu baru-baru ini. Sejak aktif menjadi blogger, kamera seakan-akan sukar untuk berenggang dengan blogger. Ia sudah menjadi teman wajib blogger ke mana sahaja hatta sampai bilik mesyuarat. 

Semua  acara dan peristiwa akan dirakam blogger  untuk rujukan. Kemudian barulah pilihan dibuat ke atas gambar-gambar dan cerita yang boleh dikongsikan diblog.

Gambar-gambar yang ingin di kongsi kali ini adalah berkaitan Senja di Kuala Terengganu dan Panorama Malam Taman Shahbandar.



kerlipan lampu malam yang menawan


panorama yang mengasyikkan


Sesuatu yang sukar digambarkan dengan kata-kata
 

Saturday 6 November 2010

ISTANA MAZIAH.. berusia lebih 100 tahun namun tetap utuh

Pemandangan indah Istana Maziah di waktu malam


Bangunan warisan Istana Maziah yang berusia lebih daripada 100 tahun ini tetap utuh dan teguh  menghadap muara Sungai Terengganu.
Ia menjadi lokasi rasim bagi upacara istiadat negeri samada istiadat pertabalan, perkahwinan,menyambut tetamu dan sebagainya.

Thursday 4 November 2010

Tahniah Kepada Pemenang Blog




Blogger Berbaloi di Terengganu


Telah diketahui sudah keputusan pemenang pertandingan Blog Pelancongan Negeri Terengganu. Tahniah kepada Puan Norhaizan Abd Kadir iaitu Blogger Berbaloi Di Terengganu kerana telah mendapat tempat Pertama bagi kategori terbuka. Sememangnya bukan tugas yang mudah untuk menjadi blogger dan seterusnya adalah untuk mendapatkan pengikut dan pembaca setia blog.

Monday 1 November 2010

Menjelang 2 Nov 2010 di Primula Beach Resort

Esok adalah hari yang dinantikan dan ditunggu oleh semua blogger-blogger Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu setelah sekian lama berhempas pulas memerah otak dan keringat dalam memajukan lagi sektor pelancongan di Terengganu.

Apa yang paling penting adalah sama-sama kita dapat mengenali dengan lebih rapat dan mesra antara blogger-blogger ini dan dapat bertukar-tukar pandangan dan seterusnya terus secara istiqamah mengaktifkan blog masing-masing secara berkala-kala dan sistematik.

Friday 29 October 2010

Beca Terengganu.. ke mana nasibnya

(gambar ehsan MBKT)



Terdengar berita di radio Terengganu FM tentang perlunya usaha memulihara warisan beca Terengganu. Di mana sekarang ini ia tidak lagi mendapat sambutan dan tidak sepenting sebagaimana dulu. Apa usaha kita dalam menjaga warisan beca Terengganu ini?.

Boleh dikatakan kebanyakan pengayuh beca adalah mereka yang miskin dan hidup susah. Jadi kehidupan mereka akan bertambah susah jika tiada usaha memulihara dan menginovasikan beca ini supaya bernafas kembali dan boleh memberi pendapatan yang memuaskan kepada pengayuh-pengayuh ini.

Mungkin sudah tiba masanya beca ini bertukar menjadi 'motobeca' supaya jarak operasi mereka lebih jauh dan tidak lagi memerah kudrat dan keringat pengayuh tua. Operasi motobeca mungkin boleh melangkau perjalanan dari bandar ke Muzium Negeri, Taman Tamadun Islam, Pulau Duyung, Batu Enam, malah mungkin sampai ke Bukit Payung.

Tuesday 26 October 2010

Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu (PBPT) 2010

Hari ini blogger menerima jemputan untuk Majlis Penyampaian Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu sebagaimana berikut:

Dengan segala hormat dan sukacitanya mempersilakan
Anda Yang Dihormati (Peserta Layak Pertandingan)
Ke :

Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu (PBPT) 2010


Tarikh : 2 November 2010 (Selasa)
Masa : 4.30 petang
Tempat : Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu

Wednesday 20 October 2010

Makan Nasi dengan Asam Pedas di Kuala Brang

Hari ini, blogger memulakan perjalanan menuju ke Batu Pahat, Johor di atas urusan kerja. Memilih jalan dari Setiu melalui simpang Kg Bt 29- Kg Langkap- Kg Pelong- Kg Tajin dan seterusnya ke bandar Kuala Brang. Pemandangan kehijauan kebun-kebun serta ladang kelapa sawit memang mendamaikan. Perjalanan juga lancar dan selesa.

Jam telah menunjukkan waktu tengahari yang terdetik di perut, "lama sudah tidak merasa nasi ulam budu dengan asam pedas di Kuala Berang'. Bersama rakan blogger memilih untuk di kedai yang menjadi kebiasaan berhampiran gerai-gerai yang menjual jagung dan kacang rebus setelah memasuki simpang ke bandar Kuala Brang daripada Sg Tong.

Saturday 16 October 2010

Rumah Terbuka Aidil Fitri Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu... menghimpunkan pengusaha dan penggiat pelancongan


Pada 7 Oktober baru-baru ini, blogger mendapat jemputan untuk menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kerjasama Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Terengganu serta kerjasama MATTA, MBHA, MAH dan lain-lain agensi dan penggiat pelancongan di Muzium Negeri Terengganu.

Suasana majlis berlansung dengan meriah sekali. Pelbagai masakan tradisi ditampilkan oleh agensi dan hotel-hotel yang masing-masing mengekalkan tradisi dan keuinikan masakan serta warisan kuih-muih tradisi. Apa yang pasti blogger cukup tertarik dengan kuih muih daripada Peranakan Terengganu yang kini sudah berasimilisasi dengan budaya Terengganu seperti Roti Paun dan lain-lain. Juga yang paling istimewa adalah Nasi Dagang Terengganu yang memang sedap. Sesuatu yang sukar di cari di tempat lain...


Suasana yang nyaman di perkarangan Muzium Negeri Terengganu telah memberi satu ketenangan disamping dapat berjumpa rakan-rakan dalam industri pelancongan terutama hotel-hotel, agensi pelancongan, pemandu pelancong serta lain-lain.

Penyertaan hotel -hotel yang turut sama memeriahkan dengan pelbagai menu dan juadah menambahkan lagi kemeriahan rumah terbuka ini.


Kehadiran kanak-kanak sekolah yang kebetulan membuat lawatan ke muzium menambahkan lagi keceriaan majlis. Turut kelihatan pelancong asing yang turut dibawa bersama-sama bagi merasai kemeriahan rumah terbuk di Terengganu.


Warisan kita sesuatu yang tidak ternilai harganya.

Friday 15 October 2010

Jamuan Hari Raya Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu..ada kambing panggang



Di penghujung Syawal baru-baru ini, blogger berkesempatan mengunjungi Majlis Jamuan Hari Raya dan Hari Inovasi Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (LPP) di Wisma Peladang berhadapan dengan Mydin Mall Kuala Terengganu.

Majlis yang cukup meriah ini dihadiri oleh semua warga kerja LPP dan PPK seluruh negeri Terengganu, warga petani dan peladang serta kakitangan jabatan dan agensi yang berkaitan. Banyak sekali makanan disajikan daripada masakan tradisional seperti Nasi Minyak, Gulai kawah kambing, lemang, ketupat, rendang, laksa serta kuih tradisional seperti tapai pulut, buah-buahan, sate dan yang paling istimewa adalah Kambing Panggang.


Dua ekor kambing panggang dihidangkan untuk hadirin. Nampak sungguh sedap kambing panggang yang telah diperap. Untuk makluman Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) telah mengorak langkah dalam memajukan ternakan kambing dan akan menjadi antara pembekal utama kambing terutama daripada baka Boer di negeri Terengganu. Kira-kira 2000 ekor kambing akan diternak oleh PPNT. PPNT juga akan menerajui dalam memasarkan kambing dan produk berasaskan kambing yang turut akan membantu peladang dan penternak kambing lain dalam memusatkan pemasaran kambing.

Dalam sedikit masa lagi negeri Terengganu akan menjadi peneraju dalam membekalkan kambing-kambing yang berkualiti ke seluruh negara dan selari dengan itu akan membantu penternak-penternak kecil untuk turut sama dalam industri makanan negara ini.

Sunday 10 October 2010

kembali ke blog, Macam-macam Program di Terengganu

Selepas berhenti rehat hampir 10 hari, kini tarikh bersejarah 10.10.10 blogger kembali semula ke alam maya dengan semangat baru. Bukan semangat seperti orang yang berkahwin yang memilih tarikh bersejarah ini, tetapi setelah penat dalam menumpukan kepada tugas dan kerja, kini semangat kembali membuak untuk kembali diruang maya.

Banyak lagi bahan dan cerita untuk di kongsi. Sepanjang 10 hari ke belakang ini pelbagai cerita akan ditampilkan semula antaranya, majlis Hari Raya LPP Negeri Terengganu dan Rumah Terbuka Pelancongan Terengganu, Merayau malam Di Taman Shahbandar, serta Hening di Water Front.

Semasa menghadiri Rumah Terbuka Pelancongan Terengganu, blogger di sapa bahawa ada yang sentiasa mengikuti blog Terengganu My Heritage samada melalui blog, google news atau facebook.

Blogger juga sempat berkunjung ke destinasi baru pelancongan Terengganu iaitu Pulau Warisan. Walaupun belum siap sepenuhnya, tetapi telah mula mencuri tumpuan apabila Program SUA RASA anjuran TV9 di adakan disitu. Hampir sesak dan jamm bandar Kuala Terengganu pada Jumaat dan Sabtu baru-baru ini. Minggu ini boleh dikatakan agak banyak program atau event yang berkaitan dengan pelancongan dari Karnival Joran - Berita Harian di Dungun. Karnival Harta Intelek di Kuala Terengganu, Program Suarasa dan macam-macam lagi program di merata-rata di negeri Terengganu.

Kita mengharapkan agar pelancongan Terengganu akan kembali meriah selepas Ramadhan dan Syawal hingga ke akhir tahun ini.

Friday 1 October 2010

Tirai pertandingan sudah berlabuh

Tepat jam 12.00 malam 30 september 2010, maka berlabuhlah tirai pertandingan Blog Pelancongan Terenganu 2010. Tahniah kepada penganjur kerana berjaya menarik dan melahirkan begitu ramai sekali blogger-blogger yang sebahagian besarnya anak Terengganu.

Bayangkan jika setiap blog mempunyai lebih kurang 100 pengikut atau pembaca, jika kita ada 100 blog maka telah ada 10,000 pembaca atau pengikut dan ianya akan terus berkembang dari semasa ke semasa. Itu belum dikira jika blog itu boleh mencapai 100 pengikut atau pembaca sehari. Jika begini keadaannya, industri pelancongan Terengganu akan berkembang lebih cepat dan pantas dari yang dijangkakan. Segala komen,komentar mahupun cadangan akan lebih cepat diketahui, idea, saranan dan sebagainya akan berkembang lebih pesat.

Khazanah dan warisan Terengganu akan tersebar lebih luas ke serata alam. Usah dirisau pasal bahasa kerana banyak sekali program atau widget alih bahasa untuk pelancong asing dari benua mana sahaja untuk sama-sama mengetahui hebatnya pelancongan di Terengganu.

Bagi blogger, pertandingan adalah satu platform atau pentas permulaan untuk pelancongan Terengganu bergerak dengan lebih jauh, lebih tulus beritanya serta lebih dekat dengan pengalaman peribadi blogger-blogger sendiri diabadikan di dalam blog.

Juga diharapkan pihak penganjur juga dapat memperhalusi dan juga dapat memberi kredit serta penghargaan kepada artikel-artikel yang bagus, gambar-gambar yang bagus, saranan dan cadangan yang bagus supaya fokus blogger-blogger akan lebih telus dan berkesan dan tidak menjadikan blog sebagai laman web dan album gambar sahaja. Jadikan ia sebagai satu cetusan dalam membina tamadun pelancongan baru di Terengganu.

Sekali lagi sekalung tahniah untuk Unit Komunikasi dan Kerajaan Negeri Terengganu.

Terengganu sememangnya hebat, penuh budaya, warisan dan tradisi.

Terengganu welcomes the world

Thursday 30 September 2010

Terengganu Secara Am

Terengganu secara amnya adalah salah satu negeri di Pantai Timur yang mempunyai keluasan seluas 12,995 km persegi dan 225 km panjang pantainya yang memutih dan cantik.

Ibu Negeri
Kuala Terengganu adalah ibu negeri dan bandar diraja yang terletak di pinggir Sungai Terengganu dan kini dikenali sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air.

Daerah
Mempunyai 7 daerah iaitu Kuala Terengganu, Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman

Populasi
Anggaran populasi di negeri Terengganu adalah lebih kurang 1 juta orang di mana 95% adalah orang-orang Melayu dan selebihnya adalah kaum Cina , India dan lain-lain.

Hari Bekerja
Hari Bekerja di negeri Terenganu adalah Ahad hingga Khamis dan Jumaat dan Sabtu adalah hari minggu dan kelepasan am.

Cuaca
Ia adalah beriklim tropika dengan purata cuaca di antara 26'C hingga 33'C. Dan kebiasaan mengalami hujan lebat dan berangin pada November hingga Januari setiap tahun. Dan kehidupan serta perniagaan adalah berjalan seperti biasa pada waktu tersebut.

Bahasa
Bahasa rasmi adalah Bahasa Malaysia. walaubagaimanapun Bahasa Inggeris juga digunakan dengan meluas.

Matawang
Matawang rasmi adalah Ringgit Malaysia (RM). Para pelawat boleh membuat tukaran di mana-mana "money changer' atau bank perdagangan. Walau bagaimanapun sesetengah premis perdagangan banyak menerima penggunaan kad kredit dengan meluas.

Kredit Kad
Semua kredit kad utama internasional adalah diterima seperti Visa, Mastercard, American Express, JCB dan sebagainya.

Agama
Islam adalah agama rasmi dan agama lain juga diamalkan dengan harmoni.

Kod Pakaian
Pelawat diingatkan agar tidak berpakaian menjolok mata bersesuaian dengan budaya tempatan terutama ditempat awam. Pelawat juga dilarang berpakain secara tidak sopan seperti berpakaian renang (swimsuit) di tempat awam atau tidak berpakaian ketika mandi di pantai.

Makanan Terengganu.. memang enak dan unik

Makanan-makanan Terengganu sentiasa menjadi kegilaan dan igauan bagi sesiapa yang pernah berkunjung ke negeri cantik ini.
Sebut sahaja Terengganu, pasti terbayang keenakan Nasi Dagang bersama Gulai Ikan Aya. Dari Besut sampai ke Kemaman, masing-masing ada destinasi terbaik untuk Nasi Dagang. Apa lagi kalau di kawasan Kuala Terengganu terutama Chendering dan Kuala Ibai.
Campuran nasi dan beras pulut ini sungguh enak sekali di makan dengan gulai ikan dengan aroma rempah yang sememangnya sebati dengan nasi. Ia juga boleh di makan bersama Gulai Udang, Gulai Telur atau Gulai Itik dan Ayam Kampung.

Laksam dan laksa ala Terengganu juga adalah makanan warisan dan tradisi di mana ia diperbuat daripada tepung gandum dan tepung beras. Manakalanya kuahnya pula adalah kuah lemak yang diperkaya dengan ikan. Bagi laksa ia juga boleh dimakan bersama kuah lemak serta kuah Terengganu atau pun kuah laksa Pinang. Ia di makan bersama ulam-ulaman, sambal dan belacan. Biasanya ia disaji pada waktu pagi dan waktu petang atau malam. Untuk mendapatkannya tidak begitu susah dan boleh didapati disepanjang jalan dari Besut hingga ke Kemaman.

Bagi makan petang, selain keropok lekor, yang menjadi pilihan adalah Sata dan Otak-Otak, Kuala Kemaman dan Kuala Besut adalah antara destinasi yang paling menjadi tumpuan dan amat terkenal dengan makanan ini.Ianya perlu diperbuat daripada ikan segar bagi mendapatkan rasa manis ikan selain rempah ratus yang lain. Baunya selepas dibakar amat mencabar perut dan selera.

Itu adalah sebahagian keistimewaan Terengganu tentang makanan. Banyak lagi makanan yang enak-enak dan istimewa di Terengganu yang tiada bandingannya seperti ketupat sotong, pulut lepa, nasi kerabu, nasi minyak, nasi kuning, nekbat, akak telur, akak berlauk, buah gomok dan macam-macam lagi.

Nak dapat semua ini kena teroka dan jelajahi warung-warung di Terengganu, pasar-pasar malam, pasar utama Pasar Payang, Cabang Tiga, Batu Enam, Bukit Besar dan lain-lain.

Warisan Terengganu sememangnya hebat...

Terengganu welcomes the world.

Tradisi Main dan Buat Wau


Suatu ketika dahulu, semasa blogger masih dizaman kanak-kanak, bermain wau atau layang adalah satu kegilaan hingga lupa makan dan minum. Macam-macam jenis wau telah dicua. Semuanya hasil buatan tangan dan sendiri.

Dulu yang ada dikedai hanyalah layang-layang plastik. Nak main kena tambah ekornya. Selalunya wau yang dibuat adalah wau barat, wau burung, wau kucing dan lain-lain. Yang tak naik langsung pun ada juga. Bahan yang digunakan adalah kertas wau bersama benang dan gam kanji atau nasi. Buluh dicari dibelukar dan dijemur serta diraut. Kadang-kadang minta tolong orang yang lebih dewasa supaya wau yang dibuat seimbang dan yang paling penting adalah terajunya. Kalau tak seimbang maka tak naik lah wau itu.

Itu kenangan dulu, sekarang ini agak sukar melihat wau hasil kerja tangan. Kanak-kanak sekarang sudah banyak memiliki permainan lain. Main wau bukan lagi menjadi kegilaan. Namun begitu masih ada segelintir yang masih meminati dan memainkan wau ini.

Sebenarnya main wau ini memupuk kesabaran, ketekunan dan kelembutan dalam bertindak. Berkomunikasi dengan wau umpama berkomunikasi dengan manusia atau insan lain. Ianya perlukan kesabaan, tolak ansur, tak boleh paksa atau tergesa. Ibarat kata seni bermain wau selari dengan apa yang kita perlu lakukan dalam hidup.

Permainan ini juga berkait rapat dengan budaya hidup rakyat Terengganu di mana mereka selalunya bermain selepas musim menuai padi bagi yang tinggal di pedalaman dan juga diluar musim tengkujuh bagi yang tinggal di pantai.

Apa yang menarik, bagi wau bulan atau wau barat ada dengungnya yang tersendiri yang dibuat dan berbunyi apabila ditiup angin. Bunyi ini amat mengasyikkan dan merdu sekali.

Walaupun muncul pelbagai wau moden yang pelbagai bentuk dan warna dari negara luar, tetapi kehebatan wau bulan serta wau barat tetap terserlah terutama dari segi hiasan awan larat danseni halusnya. Wau bukan sekadar untuk naik malah ia adalah hasil seni yang hidup dan unggul. Sama-sama kita jaga warisan seni kita.

Terengganu welcomes the world

*Terima kasih Cik Adlan Grand Cont di atas perkongsian gambar yang menarik

Wednesday 29 September 2010

Dunia dan Gaya Hidup Orang Terengganu





Gaya dan budaya hidup orang Terengganu adalah amat rapat sekali dengan laut. Laut adalah sumber inspirasi hidup rakyat Terengganu. Dari perut laut datang sumber kekayaan yang membangunkan negeri dan rakyatnya.


Laut juga mempunyai interpretasi sendiri bagi penduduk Terengganu. Walaupun hari-hari menongkah arus ke laut mencari rezeki masih ada segelintir yang masih berhempas pulas memerah keringat untuk mendapatkan sesuap nasi.

Itulah dunia laut, ada yang mengecapi kekayaan dari laut dan ada yang terus bergantung kepada laut demi sesuap nasi.

Dari hasil laut jugalah yang telah membawa Terengganu ke persada dunia. Keropok lekor, ikan aya untuk nasi dagang, budu, hasil petroleum, monsoon cup, bot Pulau Duyung telah membawa Terengganu ke dimensi baru kepada dunia.

Jangan tinggalkan laut tapi bantulah mereka yang susah walaupun hari-hari ke laut. Dunia warisan kita perlu kita kekalkan dengan sama membantu meningkatkan lagi taraf ekonomi rakyat Terengganu.

Ayuh Terengganu teruskan ke persada dunia...

*terima kasih Cik Adlan Grand Cont di atas sumbangan gambar-gambar yang penuh bererti

Jeti Penambang Pasar Payang... lambang kuasa maritim suatu ketika dahulu




Dulu ia adalah nadi dalam menghubungkan penduduk di Seberang Takir, Pulau Duyung, Pulau Sekati malah sampai ke Manir, Teluk Pasu serta Tanjung Sabtu dengan pusat bandar Kuala Terengganu.

Bagi sesetengah penduduk yang tinggal di pinggir sungai Terengganu, adalah lebih mudah menggunakan perahu atau bot untuk ke Pasar Payang daripada jalan darat.

Jeti penambang semakin ditelan arus, dengan arus kemodenan serta pembangunan yang kini telah pesat telah memberi kesan kepada pengangkutan ini. Apakah ia akan kekal dalam menongkah arus kemodenan di mana boleh dikatakan setiap rumah mempunyai kenderaan masing. Jeti kini semakin lesu.

Perlu ada usaha untuk mengekalkan pengangkutan tradisi yang boleh dianggap sebagai warisan rakyat Terengganu. Ia juga melambangkan bahawa ornag Terengganu dahulu adalah mahir dan pakar dalam dunia maritim. Masakan perusahaan bot di Pulau Duyung diiktiraf antara pembuatan bot terbaik dunia, juga kapal-kapal dari Terengganu sentiasa berdagang ke Singgora atau Songkla di Thailand malah mungkin lebih dari itu lagi.

Dunia sungai dan laut adalah nadi nyawa kepada Terengganu. Usaha mempertahankan warisan dunia pelayaran perlu diusahakan supaya bangsa Terengganu yang hebat dalam dunia maritim perlu ditonjolkan atau dikembalikan kegemilangan silam sesuai dengan perkembangan dunia moden.

*Terima kasih Cik Adlan Grand Cont... atas sumbangan dan berkongsi gambar-gambar yang menarik

bookcafe com

AGODA Booking

Get the LOWEST RATE of your hotel BOOKING by Online

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Blog List

kongsi blog